11 July 2025
Text: Foong Li Mei
Illustration: Faizati Mohd Ali
Apabila kerja penjagaan sering dianggap sebagai ‘kerja wanita’, beban fizikal dan emosi yang terlibat lebih banyak ditanggung oleh golongan wanita. Pandemik Covid-19 telah memburukkan lagi keadaan ini. Wanita dalam peranan ini juga sering mengalami tekanan moral, apabila beban tanggungjawab memaksa mereka mengorbankan mutu penjagaan yang yang mereka sendiri mahu berikan. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan mereka secara individu, malah turut memberi kesan buruk kepada keseluruhan ekonomi penjagaan dan kesejahteraan negara.
Anak-anak lelaki saya pernah bertanya, mengapa saya jarang tidurkan mereka pada waktu malam. “Kami rindu Mama,” kata mereka. Luluh hati saya mendengarnya.
Sebagai jururawat di hospital kerajaan, kerja saya benar-benar meletihkan—baik dari segi mental mahupun fizikal. Apabila saya pulang ke rumah, tugas memasak, mengemas, dan menjaga anak-anak terasa amat berat. Namun, jika saya tidak melaksanakannya, saya akan berasa seolah-olah telah gagal sebagai seorang ibu. Sejujurnya, hidup ini terasa seperti satu pertarungan dengan masa yang tiada penghujung.
Jam loceng berbunyi pada pukul 4 pagi. Badan masih letih, namun saya gagahkan juga diri untuk bangun. Bila perlu seimbangkan kerja sepenuh masa dengan tanggungjawab sebagai seorang ibu, setiap minit terasa begitu berharga.
Tetapi, dalam kepenatan itu, saya tetap rasa puas. Saya suka menjaga mereka yang memerlukan, sama ada pesakit di hospital, mahupun keluarga saya sendiri.
Semangat dan kebanggaan dengan kerja ini, serta pandangan mata pesakit yang makin pulih, makin kuat, itulah yang memberi saya semangat untuk terus bangun dan melangkah.
Sampailah Covid-19 melanda.
Tiba-tiba, punca saya bertahan selama ini bertukar menjadi ketakutan yang menggigit jiwa.
Dalam sekelip mata, beban kerja saya meningkat seiring dengan lonjakan angka jangkitan dan kematian setiap hari.
Kami tidak pernah menjangka kemasukan pesakit kritikal yang tidak putus-putus, prosedur keselamatan yang sering berubah, syif kerja yang semakin panjang, dan waktu rehat yang entah ke mana hilangnya—semuanya berlaku serentak. Kami tidak bersedia untuk memikul beban tanggungjawab sebesar itu, apatah lagi menghadapi ketidaktentuan yang datang tanpa henti.
Walau apa pun yang berlaku, kami tetap menjalankan tugas sehabis baik kerana kami tahu apa yang sedang dipertaruhkan—nyawa manusia. Setiap nyawa itu mungkin seorang ibu, seorang anak. Ini bukan waktu biasa-biasa; ini krisis Kesihatan!
Jadi kami sarung pakaian PPE, sembunyikan penat lelah, air mata, dan tubuh yang semakin lemah.
Semua perasaan kami pendam jauh-jauh dan kami bekerja seolah-olah sebuah mesin.
Namun, hakikatnya… kami bukanlah mesin.
Lama-kelamaan, keletihan yang ditahan mula berubah menjadi kekecewaan. Suasana kerja menjadi tegang, dan komunikasi antara kami semakin renggang.
Ketakutan pula menyelubungi jururawat-jururawat muda yang dihantar ke Unit Rawatan Rapi demi mencukupkan tenaga kerja, walaupun ramai antara mereka masih belum cukup latihan dan tiada pengalaman mengendalikan kes-kes rumit.
Rasa bersalah semakin menebal dalam diri saya. Ada pesakit yang merayu, ada ahli keluarga yang menangis, memohon untuk bertemu orang tersayang buat kali terakhir. Namun, saya terpaksa berpegang pada tanggungjawab dan memastikan setiap prosedur keselamatan dipatuhi dengan teliti.
Ya, saya faham betapa peritnya rasa apabila terpisah daripada orang tersayang. Seperti pesakit yang dikuarantin, saya juga seakan ‘terkurung’ di hospital. Syif kami semakin panjang1. Kami langsung tidak dapat bertemu keluarga. Kerja datang bagaikan tsunami tanpa henti hingga tiada masa untuk menjawab mesej atau mengangkat telefon.
Pernah beberapa kali, suami cuba menghubungi saya dalam keadaan buntu, apabila anak kami merajuk dan enggan makan. Dia marah apabila saya hanya sempat membalas berjam-jam kemudian. Saya rasa seperti ibu yang gagal. Saya rindukan keluarga saya… dan saya risaukan mereka setiap hari.
1 Satu audit kebangsaan mendapati bahawa jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sering bekerja lebih daripada 12 jam setiap hari sepanjang pandemik Covid-19, malah ada yang menjalankan tugas berganda. Dalam kajian RE:CARE, para jururawat melaporkan peningkatan sebanyak 23.1% dalam jumlah jam bekerja semasa pandemik, berbanding sebelum pandemik.
Tapi apakan daya—nyawa tetap perlu diselamatkan. Jadi kami sama-sama memikul kesedihan pesakit-pesakit kami, sambil memendam segala rasa dalam diri sendiri.
Kami berdepan emosi dan permintaan yang datang bertalu-talu—daripada ahli keluarga yang tidak dibenarkan melawat, dan daripada pesakit yang dalam kesunyian dan ketakutan merayu untuk bertemu orang tersayang buat kali terakhir. Saya bantu pesakit warga emas membuat panggilan video dengan keluarga mereka di hujung nyawa. Kami dengar sendiri luahan terakhir mereka—dan dalam hati, kami genggam erat janji untuk menyampaikan pesan-pesan itu kepada keluarga yang menanti.
Bukan mudah untuk meletakkan garisan sempadan bila permintaan datang tanpa henti. Urusan kerja dan keluarga makin bercampur, hingga tak nampak mana pangkal, mana hujungnya.
Saya masih ingat perbualan saya dengan Mala, seorang petugas pembersihan muda yang ditugaskan di wad yang sama dengan saya. Kami baru habis syif dan duduk berehat sekejap lepas seharian berpanas dan berpeluh dalam PPE.
Kami bertukar cerita tentang betapa lamanya kami tak nampak matahari… dan tak jumpa anak masing-masing. Mala kata, sebagai tukang cuci, dia juga terpaksa bekerja lebih masa kerana bilangan pesakit yang semakin bertambah. Bila dia sudah bersiap-siap untuk pulang, masa itulah pesakit baru masuk. Hasrat untuk balik terpaksa ditangguhkan. Dia sambung kerja—tanpa bayaran lebih masa, tanpa bonus.
Suami dia pula, semakin hari semakin marah. Selalu persoalkan mengapa dia balik lewat setiap hari. Kata Kak Mala, setiap kali anak kecil mereka menangis di rumah, suaminya akan hantar mesej panjang-panjang dengan nada yang tajam dan menyakitkan. Pernah sekali, suaminya tulis, “Anak awak ni nangis sebab dia rasa awak sayang hospital tu lebih daripada dia.”
“Kita ni ibarat superwoman,” kata Mala sambil mengelap dahi—entah peluh, entah air mata.
“Kita nak buat kerja betul-betul, kita pun nak jaga keluarga. Tapi sekarang… dua-dua pun macam tak menjadi. Rasa macam gagal dua-dua. Mungkin saya yang kena usaha lebih lagi.”
Tapi… berapa banyak lagi?
Soalan itu tak henti-henti bermain dalam kepala saya. Ia berlegar-legar dalam fikiran sewaktu saya bertungkus-lumus memusingkan badan pesakit yang terlantar supaya dapat dibersihkan; ketika saya pulang lewat malam dan melihat bakul baju kotor yang melimpah, serta bekas makanan bungkus yang berminyak di atas meja makan yang melekit; ketika saya duduk diam-diam mendengar rakan sekerja menangis dan bercerita bagaimana suaminya menyuruh dia berhenti kerja untuk menjaga ibu mentua yang masih lemah akibat komplikasi long COVID.
Kenapa perempuan yang selalu kena buat lebih? Kerja kami pun mencabar. Tapi urusan rumah, menjaga anak, mengurus ibu bapa yang semakin uzur—semuanya dianggap tanggungjawab perempuan. Ramai pula yang terima sahaja kalau suami hanya membantu sekadar yang perlu.
Adakah sebab kerja menjaga ini memang dilihat sebagai tugas wanita semata-mata? Atau kerana gaji saya lebih kecil3 daripada suami, maka kerja saya pun dianggap kurang penting?
3 Menurut satu laporan berita, gaji pokok seorang jururawat di Malaysia adalah kurang daripada RM3,000 walaupun telah berkhidmat lebih daripada sedekad. Kebanyakan jururawat yang terlibat dalam kajian RE:CARE juga melaporkan menerima gaji dalam lingkungan RM2,209 hingga RM4,580.
Kenapa gaji saya begitu rendah? Sudah 15 tahun saya berkhidmat dalam bidang ini.
Kalau ditanya pada saya, sebabnya mungkin kerana kejururawatan masih dipandang sebagai “kerja perempuan”. Ramai yang fikir tugas kami sekadar menjaga pesakit—suap makan, tukar lampin. Sedangkan hakikatnya, kami menjalani latihan perubatan yang ketat dan mendalam.
Perempuan sememangnya dibayar lebih rendah berbanding lelaki dalam banyak bidang. Bila dua faktor ini digabungkan, maka tak hairanlah kalau jururawat terus dipandang rendah.
Gaji yang rendah, kurang pengiktirafan, dan stereotaip sebagai ‘kerja wanita’—semuanya bukan sekadar menjejaskan jururawat, tapi memberi kesan besar kepada keseluruhan sistem kesihatan.
Jururawat adalah tulang belakang sistem kesihatan—kami yang mengurus segalanya, daripada menyediakan dan memberi ubat, menjaga kebersihan pesakit, mencegah jangkitan, sampailah ke kerja dokumentasi yang penting.
Tapi sekarang, bilangan jururawat di Malaysia semakin merosot.
Tahun lepas saja, saya sendiri menyaksikan lebih kurang 30 orang rakan sekerja berhenti dan berpindah ke negara lain seperti Singapura atau Arab Saudi. Di sana, gaji jururawat boleh mencecah tiga kali ganda, malah ada yang lebih tinggi lagi.
Apa yang lebih merisaukan, tidak ramai anak muda di Malaysia yang mahu menceburi bidang kejururawatan. Tambahan pula, majoriti lelaki terus menjauh daripada profesion ini. Ketiadaan jururawat lelaki juga merupakan satu masalah yang serius. Banyak tugasan kami memerlukan kekuatan fizikal, terutamanya apabila perlu mengangkat atau mengalihkan pesakit.
Pernah beberapa kali, saya terpaksa meminta bantuan petugas kebersihan, yang juga kebanyakannya wanita, untuk membantu membalut jenazah pesakit Covid-19. Sedangkan itu bukan tanggungjawab mereka, dan mereka pula terdedah kepada risiko jangkitan.
Kak Gayatri, salah seorang tukang cuci yang saya sering temui, pernah memberitahu bahawa sekiranya mereka dijangkiti Covid-19, mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari tanpa sebarang gaji. Saya rasa amat bersalah kerana meminta bantuan mereka, dan sejak itu saya cuba lakukan sendiri tugas-tugas berat itu.
Ramai rakan sekerja saya, semuanya wanita, akhirnya mengalami ‘slipped disc’ dan masalah tulang belakang yang serius. Ada yang terpaksa ditugaskan melakukan kerja ringan sahaja, dan ada yang terpaksa berhenti kerja terus. Keadaan ini mengurangkan bilangan staf yang sudah sedia tidak mencukupi.
Akibatnya, rawatan kepada pesakit menjadi semakin perlahan, dan syif kerja kami pula menjadi semakin panjang. Semakin kami keletihan, semakin tinggi pula risiko melakukan kesilapan dan mengalami kecederaan. Kitaran ini terus berulang tanpa henti. Dan siapa yang menanggung kesannya? Seluruh rakyat Malaysia.
Tapi semua ini bukanlah masalah yang baru. Ekonomi penjagaan di Malaysia memang sejak sekian lama dikuasai oleh wanita4 yang terus memikul beban di dua medan: kerja berbayar di tempat kerja, dan kerja tidak berbayar di rumah.
Saya sendiri sudah lama merasa terbeban, jauh sebelum pandemik melanda. Cuma, krisis kesihatan Covid-19 menjadikan beban itu semakin berat dan membuka mata saya terhadap betapa seriusnya masalah ini.
4 Menurut data daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019, wanita merangkumi 96% daripada jumlah keseluruhan jururawat di negara ini.2019 reportby the Ministry of Health.
Saya berasa sukar untuk bangun pagi sejak Covid-19 melanda. Segalanya terasa seperti tiada penghujung, seolah-olah saya ditakdirkan untuk gagal, baik di tempat kerja mahupun di rumah.
Namun saya tetap bangun, kerana dalam hati ini masih ada harapan bahawa keadaan akan berubah.
Ada perkara yang masih dalam kawalan saya. Saya mula mengajar suami memasak hidangan sihat yang digemari anak-anak. Tak sangka pula, dia jatuh cinta dengan dunia memasak, malah kini aktif mengendalikan saluran YouTube sendiri. Saya juga tidak lagi mengemas rumah atau membasuh baju secara senyap-senyap. Saya berterus terang dengan suami: jika saya bertugas syif malam, dialah yang perlu mengambil alih. Anak-anak lelaki saya juga saya latih membasuh pinggan sendiri dan mengemas barang sebelum tidur.
Memang kadang-kadang kerja mereka tak sempurna. Tapi saya memilih untuk membiarkan. Bagi saya, waktu rehat lebih berharga daripada rumah yang sentiasa kelihatan sempurna.
Namun, ada juga perubahan yang di luar kawalan saya. Kita perlukan dasar yang lebih menyokong dan mengangkat bidang penjagaan dari segi pengiktirafan, status, dan juga gaji. Malaysia amat memerlukan lebih ramai petugas dalam bidang ini.
Kalau lebih ramai yang menghargai, dan sama-sama terlibat dalam ekonomi penjagaan, mungkin mutu penjagaan juga akan meningkat untuk semua.
Saya berharap lebih ramai dapat merasai sendiri keindahan memberi penjagaan yang ikhlas dan baik. Memang ia satu kerja yang melelahkan. Tapi, seperti hidup ini juga, tugas ini akan lebih ringan dan bermakna bila dipikul bersama.